comscore
Tumpuan :
Dunia

Letusan gunung berapi Mayon mungkin berpanjangan – Vulkanologi

Foto lava yang mengalir dari Gunung Berapi Mayon di Daraga, Filipina pada 11 Jun 2023. -FOTO: REUTERS

MANILA: Beribu-ribu penduduk di kaki Gunung Berapi Mayon terus bersiap sedia menghadapi letusan yang boleh berlarutan selama “beberapa bulan.”

Pengarah Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, Teresito Bacolcol berkata, gunung berapi yang paling aktif di Filipina itu mengalami “letusan kuat” sejurus sebelum 8 malam waktu tempatan pada Ahad.

“Lava kini mencurah keluar dari bolong. Ia bergerak perlahan seperti sungai-sungai lava cair,” kata Bacolcol.

Gunung setinggi 2,460 meter dan berbentuk kon itu mula meletus Khamis lalu dengan tahap amaran dinaikkan kepada skala tiga.

Mulai Ahad, institut itu telah merekodkan 21 gempa bumi gunung berapi, 260 jatuhan batuan dan tiga aliran piroklastik yang merupakan campuran serpihan batu, gas dan abu yang bergerak pantas.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan berkata lebih 14,000 penduduk kampung dalam zon bahaya telah dipindahkan dan berlindung di bangunan sekolah dan tempat perlindungan sementara yang lain.

Pada Isnin, Gabenor Albay Edcel Greco Lagman memanjangkan zon bahaya daripada enam kilometer (km) kepada tujuh km.

Mayon kali terakhir meletus pada Januari 2018 mengakibatkan lebih 23,000 orang dipindahkan dari sembilan bandar dan majlis perbandaran.

Selain gunung berapi Mayon, institut itu juga memantau situasi gunung berapi Taal di wilayah Batangas, 66 km selatan Manila dan gunung berapi Kanlaon di tengah Filipina. -BERNAMA

Loading...
Terkini