KYIV: Letupan kuat bergema di seluruh Kyiv pada awal pagi Sabtu lalu menggegar bandar itu ketika ketegangan antara Rusia dan Ukraine berterusan.
Berikutan itu, infrastruktur dan harta benda awam musnah dibedil letupan berkenaan.
Letupan turut mengganggu operasi stesen kereta api bawah tanah berhampiran, memaksa pengangkutan itu memintas hentian buat sementara waktu.
Menurut pentadbiran tentera wilayah bandar itu, sekurang-kurangnya empat terbunuh dalam letupan itu.
“Secara keseluruhan, 10 kereta musnah, dan seperti yang anda lihat, banyak tingkap berhampiran pecah,” kata Pavlo Petrov, jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Negeri Kyiv.
Dasha, seorang penduduk tempatan, berkata ia sangat menakutkan, dan itu adalah kali keempat letupan berlaku dalam setahun setengah, sejak keluarganya berpindah ke sini.
“Sepanjang masa sebelumnya, letupan itu hanya memecahkan kaca di balkoni. Tetapi kali ini, ia memecahkan setiap tingkap. Kami sedang berkemas dan berpindah bersama saudara-mara kami sehingga kami dapat mencari apartmen lain. Mustahil untuk tinggal di sini,” kata Dasha.
Siren yang bergema di udara terus menjadi peringatan yang suram tentang ancaman berterusan daripada serangan bawaan udara Rusia.
Penduduk Kyiv telah menyesuaikan diri mereka dengan bahaya yang mendatang. Banyak perniagaan di tepi jalan kini beroperasi dengan generator kecemasan untuk bersiap sedia menghadapi bekalan elektrik terputus, manakala sekolah dan institusi telah menubuhkan tempat perlindungan bawah tanah ketika berlaku serangan udara.
Konflik yang berterusan terus membayangi kehidupan seharian rakyat Ukraine dan juga rakyat Rusia, dengan krisis antara kedua-dua negara memasuki tahun ketiga dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.