MOSCOW: Sebutir bom meletup di lobi sebuah blok apartmen mewah di Moscow pada Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang penduduk dan mencederakan empat yang lain, menurut laporan media rasmi Rusia yang memetik Perkhidmatan Kecemasan.
Bom itu meletup tepat ketika seorang lelaki bersama pengawal peribadinya memasuki lobi kompleks “Scarlet Sails” yang terletak di tebing Sungai Moskva, kira-kira 12km dari Kremlin, menurut media Rusia.
Agensi berita negara TASS memetik pihak penguatkuasa undang-undang yang menyifatkan letupan itu sebagai satu “pembunuhan terancang.” Sasaran serangan tidak diketahui dengan jelas, tetapi agensi itu melaporkan bahawa antara yang cedera adalah pengawal peribadi lelaki yang terbunuh.
Saluran Telegram Baza, yang mempunyai hubungan dengan perkhidmatan keselamatan Rusia, menerbitkan video yang menunjukkan kerosakan besar di lobi bangunan tersebut.
Pada bulan Disember lalu, Ukraine mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan Jeneral Rusia Igor Kirillov dalam satu letupan bom di luar sebuah bangunan apartmen di Moscow.
Setakat ini, Ukraine belum memberikan sebarang komen mengenai insiden terbaru ini. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.