LONDON: John Tinniswood, yang dilahirkan pada Ogos 1912 di Liverpool tahun sama sewaktu Titanic karam serta melalui dua perang dunia dan pandemik global, telah meninggal dunia pada usia 112 tahun.
Perkara itu disahkan oleh Guinness World Records pada Selasa, beberapa bulan selepas dia diiktiraf sebagai lelaki tertua di dunia.
John meninggal dunia pada Isnin di sebuah rumah penjagaan di Southport, barat laut England yang dikelilingi oleh ‘muzik dan kasih sayang’.
“John memiliki banyak sifat yang baik. Dia bijak, tegas, berani, tenang dalam apa jua keadaan, berbakat dalam matematik dan seorang yang hebat dalam berbual,” kata keluarganya kepada Guinness World Records.
John mendirikan rumah tangga pada tahun 1942 bersama isterinya, Blodwen, semasa puncak Perang Dunia Kedua.
Ketika itu, beliau berkhidmat di Royal Army Pay Corps dan bertanggungjawab menguruskan kewangan dan bekalan makanan.
John juga pernah bekerja sebagai akauntan dalam industri minyak sebelum bersara pada usia 60 tahun.
John meninggalkan seorang anak perempuan, empat cucu, dan tiga cicit.
Isterinya telah meninggal dunia pada tahun 1986.
Dari usia 100 hingga 110 tahun, beliau menerima kad ucapan hari lahir setiap tahun daripada mendiang Ratu Elizabeth, yang 14 tahun lebih muda daripadanya.
Ratu Elizabeth mangkat pada tahun 2022.
“Selain menikmati makanan kegemarannya (ikan dan kentang goreng) setiap hari Jumaat, John tidak mengamalkan sebarang diet khas.
Beliau kekal aktif secara mental, sentiasa mengikuti perkembangan berita dan mengurus kewangan sendiri,” kata Guinness World Records.
Ketika Guinness World Records menganugerahkannya gelaran lelaki tertua di dunia pada April tahun ini, John berkata tiada rahsia besar di sebalik umurnya yang panjang, ia disifatkan sebagai nasib.
“Sama ada anda hidup lama atau singkat, anda tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya,” kata John.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.