
LONDON: Seorang lelaki memanjat Menara Elizabeth yang menempatkan jam gergasi ikonik Big Ben di Istana Westminster, London ditahan pihak berkuasa Britain.
Lelaki yang dilaporkan mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan bebas Palestin di menara itu turun selepas 16 jam dipujuk pihak berkuasa.
Jurucakap Polis Metropolitan memaklumkan, pihaknya bekerjasama dengan agensi lain termasuk bomba London serta mengerahkan pegawai pakar untuk meleraikan situasi secepat mungkin selain meminimumkan risiko keselamatan nyawa.
Dalam pada itu, pasukan kecemasan menggunakan kren di menara itu untuk berbincang dan memujuk lelaki berkenaan.
Dia akhirnya turun selepas memberitahu syaratnya sendiri.
Sementara itu, perkhidmatan kecemasan menutup Jambatan Westminster pada pagi Sabtu sebagai tindak balas kepada insiden itu.
Kejadian juga menyebabkan lawatan Parlimen dibatalkan namun semua jalan telah dibuka semula selepas lelaki itu ditahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.