SAO PAULO: Seorang lelaki maut selepas meletupkan dirinya di luar Mahkamah Agung Brazil susulan percubaan untuk memasuki bangunan itu pada hari Rabu.
Tindakan itu sekaligus menimbulkan kebimbangan ekoran Brazil akan menjadi tuan rumah kepada pemimpin-pemimpin dunia bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Letupan berlaku lima hari sebelum pertemuan ketua-ketua negara G20 di Rio de Janeiro, diikuti dengan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, ke ibu negara Brasilia.
Letupan pertama dari dua letupan itu berlaku pada petang Rabu di tempat letak kereta berhampiran bangunan mahkamah, dan letupan kedua berlaku beberapa saat kemudian di hadapan mahkamah, di mana mayat lelaki itu ditemui.
Justeru, Mahkamah Agung Brazil terpaksa dikosongkan selepas dua letupan berlaku di luar bangunan berkenaan pada Rabu malam.
Para hakim dipindahkan dengan selamat, menurut kenyataan mahkamah.
Polis menjalankan pemeriksaan di kawasan terbabit untuk mengesan bahan letupan lain, dan Peguam Negara Brazil menyifatkan insiden ini sebagai “serangan” di media sosial.
Mahkamah Agung terletak berhadapan dengan istana presiden Brazil, di mana Presiden Luis Inacio Lula da Silva dilaporkan beredar beberapa minit sebelum letupan berlaku.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.