BRASILLIA: Seorang lelaki terbunuh selepas bertindak meletupkan dirinya di luar Mahkamah Agung Brazil dalam cubaan untuk memasuki bangunan itu pada semalam, kata pihak berkuasa.
Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan keselamatan menjelang kunjungan pemimpin global dari G20, negara ekonomi utama.
Letupan terbabit berlaku lima hari sebelum Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, disusuli dengan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping, ke ibu negara Brasilia.
Letupan pertama berlaku pada petang semalam di kawasan parkir berhampiran bangunan mahkamah dan letupan kedua berlaku beberapa saat kemudian di hadapan mahkamah iaitu lokasi mayat lelaki terbabit ditemui.
Naib Gabenor Daerah Persekutuan, Celina Leao, berkata maklumat awal menunjukkan bahawa lelaki terbabit membunuh diri dengan bahan letupan selepas cuba memasuki Mahkamah Agung.
Leao memaklumkan bahawa lelaki berkenaan memiliki sebuah kereta berdekatan di mana letupan lain telah menyebabkan but kenderaan itu terbuka.
Leao berharap kejadian berkenaan adalah tindakan jenayah individu. Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan perkara berkenaan.
Polis mendakwa mereka masih belum membuat pengecaman akhir terhadap lelaki yang maut berkenaan kerana berdepan denganrisiko bahan letupan tambahan pada tubuh mangsa.
Letupan berkenaan berlaku di sekitar Plaza Tiga Kuasa, sebuah dataran ikonik di Brasilia yang menghubungkan bangunan utama tiga cabang kerajaan persekutuan Brazil.
Dataran berkenaan merupakan lokasi rusuhan pada 8 Januari tahun lalu apabila penyokong bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro merosakkan bangunan terbabit sebagai protes terhadap kekalahannya dalam pilihan raya.
Polis telah mengerahkan pasukan bom dengan bantuan robot pelupusan bahan letupan ke dataran berkenaan untuk menyiasat kes letupan terbabit.- REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.