COPENHAGEN: Seorang lelaki ditahan selepas Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, diserang di tengah Copenhagen pada petang Jumaat, menurut pejabatnya seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita Jerman (dpa).
Perdana Menteri itu “terkejut dengan kejadian itu”, kata pejabatnya tanpa memberikan butiran lanjut.
Pada mulanya, tidak jelas sama ada Frederiksen, seorang Demokrat Sosial, mengalami kecederaan dalam serangan berkenaan.
Polis Copenhagen menyatakan di platform X bahawa seorang individu telah ditahan.
Menteri Pertahanan Denmark, Troels Lund Poulsen menyifatkan serangan itu sebagai “kejutan”.
“Ini bukan Denmark,” catatnya dalam satu hantaran di X.
“Kami tidak menyerang Perdana Menteri kami.
“Insiden itu berlaku ketika berjuta-juta warga EU akan mengundi untuk memilih Parlimen Eropah yang baharu.
Dalam satu hantaran di X, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen mengutuk serangan terhadap Frederiksen sebagai “tindakan keji yang bertentangan dengan segala yang kita percayai dan perjuangkan di Eropah”. – BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa