Tumpuan :
Dunia

Lelaki bersenjata maut, 3 polis cedera ditembak di Jordan

Kenderaan polis kelihatan di sebuah jalan berhampiran Kedutaan Israel di Amman, Jordan. – Foto REUTERS

AMMAN: Seorang lelaki maut manakala tiga anggota polis cedera selepas tembakan dilepaskan berhampiran kedutaan Israel di negara jiran Jordan, menurut sumber keselamatan dan media kerajaan pada Ahad.

Agensi berita negara, Petra yang memetik sumber keselamatan awam, melaporkan polis menembak seorang lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah peronda polis di kejiranan Rabiah di Amman.

Menurut laporan itu, siasatan lanjut juga sedang dijalankan. Saksi memberitahu, polis Jordan sebelum ini mengepung kawasan berhampiran kedutaan yang dikawal ketat selepas bunyi tembakan kedengaran.

Dua saksi berkata, polis dan ambulans kemudian bergegas ke kejiranan Rabiah, di mana terletaknya bangunan kedutaan berkenaan.

Kawasan itu adalah lokasi utama bagi penganjuran demonstrasi untuk menentang Israel.

Kerajaan Jordan sudah menyaksikan beberapa perhimpunan aman terbesar di seluruh rantau ini ketika sentimen anti-Israel semakin memuncak susulan perang di Gaza.

Sementara itu, sumber keselamatan memaklumkan polis menyeru penduduk untuk tinggal di rumah mereka ketika anggota keselamatan menjejaki pelakunya.

Sebahagian daripada 12 juta rakyat Jordan berasal dari Palestin, selepas mereka atau ibu bapa mereka diusir atau melarikan diri ke Jordan dalam peperangan serta konflik yang mencetuskan penubuhuan negara Israel pada 1948.

Ramai juga yang mempunyai hubungan keluarga di sebelah Israel di Sungai Jordan.

Perjanjian damai Jordan dan Israel tidak begitu disambut baik di kalangan rakyatnya, yang melihat normalisasi hubungan itu sebagai mengkhianati hak rakan senegara Palestin. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini