MAKKAH: Berjalan lebih 8,000 kilometer (km), hasrat seorang lelaki dari India untuk menunaikan ibadah haji tercapai.
Perjalanan dari bumi kelahirannya di Kerala, India ke Tanah Suci Makkah menyaksikannya dia berjalan kaki pada jarak 8,640 km.
Sepanjang kembaranya itu, Shihabudeen Sayid Alawi atau lebih dikenali sebagai Shihab Chottur merentasi lima negara iaitu India, Pakistan, Iran, Iraq dan Kuwait dengan perjalanan keseluruhan mengambil masa selama setahun 17 hari.
Alawi memulakan perjalanannya pada 2 Jun 2002 dan tiba di Makkah pada 7 Jun lalu.
Menurut Alawi dalam wawancara eksklusif bersama portal berita Arab News, dia tiba di sempadan Kuwait-Arab Saudi jam 5.17 pagi di bulan Ramadan. Menzahir rasa syukur, sebaik tiba Alawi berlutut dan memegang pasir Arab Saudi.
Kunjungan pertama Alawi ke Arab Saudi ialah dengan menziarahi kota Madinah.
Ujar Alawi, dia merasakan seperti sudah menamatkan perjalanan sebaik mengunjungi Masjid Nabawi.
Sejurus menziarahi Raudah dan dia amat yakin akan berkunjung ke Makkah untuk melaksanakan ibadah rukun Islam kelima.
Sebaik menjejakkan kaki ke Makkah pula, dia seperti sudah melupakan cabaran dan kesukaran yang dilaluinya sepanjang setahun perjalanan spiritual itu.
Kesyukuran tidak terhingga dipanjatkan Alawi dan dia juga menghabiskan “beberapa jam” mendoakan kesemua yang menghulurkan sokongan bagi membolehkan dia mencapai matlamat mengerjakan haji selain memenuhi impian mereka yang memintanya berdoa di hadapan Kaabah.