comscore
Tumpuan :
Dunia

Lelaki Australia dijatuhkan hukuman penjara 129 tahun di Filipina

Peter Gerard Scully

MANILA: Seorang lelaki Australia dijatuhkan hukuman penjara 129 tahun di Filipina sebagai sebahagian daripada kes penderaan seksual kanak-kanak yang membabitkan mangsa seawal usia 18 bulan.

Ini adalah sabitan kedua bagi Peter Gerard Scully, yang sudah menjalani hukuman penjara seumur hidup untuk pertuduhan awal membabitkan rogol dan pemerdagangan gadis.

Sebelum ini, Scully ditangkap pada 2015 di Malaybalay, sebuah bandar di selatan Filipina, selepas melarikan diri dari Australia pada 2011.

Dia datang ke Filipina untuk melarikan diri daripada tuduhan penipuan di negara asalnya dan menubuhkan perniagaan seks siber dengan merakam gadis remaja daripada keluarga miskin ketika dia melakukan hubungan seks dengan mereka atau menggunakan alat mainan seks.

Pendakwa wilayah di bandar selatan Cagayan de Oro, Merlynn Barola-Uy, berharap hukuman yang dijatuhkan itu menghantar mesej tegas kepada semua pendera dan penyeludup manusia bahawa jenayah itu akan mendapat balasan setimpal.

“Ini adalah kemenangan besar, bukan saja untuk kami pendakwa di Jabatan Kehakiman, tetapi yang lebih penting ini adalah kemenangan besar untuk mangsa yang terselamat,” katanya.

Mahkamah Cagayan de Oro menjatuhkan hukuman itu pada 3 November lalu selepas Scully dan tiga tertuduh bersamanya menandatangani perjanjian rundingan pengakuan.

Mereka didakwa atas 60 kesalahan, termasuk pemerdagangan manusia, pornografi dan penderaan kanak-kanak serta rogol.

Sementara itu, pakar memberi amaran, Filipina kini menjadi tumpuan global untuk eksploitasi seks kanak-kanak disebabkan faktor kemiskinan, kefasihan bahasa Inggeris dan sambungan internet yang tinggi di negara itu.

Teman wanita Scully, Lovely Margallo, pula dijatuhi hukuman penjara 126 tahun, manakala dua lagi dikenakan hukuman lebih sembilan tahun.

Sementara itu, mangsa dan keluarga menerima syarat perjanjian itu serta menganggapnya sebagai ‘kemenangan manis’.

“Mereka semua mahu menutup fasa gelap kehidupan ini dan meneruskannya,” menurut satu kenyataan yang disiarkan di halaman Facebook pejabat pendakwaan wilayah. – AFP

 

Loading...
Terkini