LONDON: Bekas penyerang Manchester United dan Scotland, Denis Law meninggal dunia pada usia 84 tahun pada Jumaat.
Perkara itu diumumkan oleh ahli keluarga dan kelab Liga Perdana Inggeris itu di laman media sosial rasminya.
“Dengan hati yang berat, kami memaklumkan bahawa bapa kami, Denis Law, telah meninggal dunia. Beliau telah berjuang dengan penuh kesabaran tetapi kini sudah berada dalam keadaan penuh kedamaian.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan penjagaan beliau, baik pada masa lalu mahupun baru-baru ini. Kami tahu betapa ramai yang menyokong dan menyayangi beliau, dan kasih sayang itu sentiasa dihargai,” kata kenyataan keluarga yang dikongsi oleh United.
Law memulakan kerjayanya di Huddersfield Town dan mencipta nama bersama The Red Devils selama 11 tahun, memenangi dua gelaran liga (1965, 1967) dan Piala Eropah 1968.
Sebagai rekod, Law telah menjaringkan 237 gol dalam 404 penampilan untuk kelab tersebut, menjadikannya sebagai penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah kelab, di belakang Wayne Rooney (253) dan Bobby Charlton (249).
Digelar ‘The King’, Law merupakan satu-satunya pemain Scotland yang memenangi Ballon d’Or dan Anugerah Pemain Terbaik Eropah pada 1964.
Law kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman bagi Scotland dengan 30 gol dalam 55 penampilan.
Pada tahun 2021, Law menghidap penyakit Alzheimer dan demensia vaskular.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.