
GENEVA: Lebih daripada AS$50 bilion diperlukan untuk membina semula Gaza selepas konflik Israel-Hamas selama 15 bulan di wilayah Palestin, menurut penilaian yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Bank Dunia pada Selasa.
Interim Rapid Damage and Needs Assessment (IRDNA) berkata bahawa AS$53.2 bilion diperlukan untuk pemulihan dan pembinaan semula dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan AS$20 bilion diperlukan dalam tiga tahun yang pertama.
Kempen Israel di Gaza dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan yang diketuai Hamas pada 7 Okt 2023 di mana 1,200 orang terbunuh manakala lebih 250 orang telah dijadikan tebusan, menurut pengiraan Israel. Operasi Israel telah membunuh lebih daripada 48,000 orang, menurut pegawai kesihatan Gaza, dan menyebabkan kemusnahan dahsyat di wilayah yang terkepung itu.
Kerja-kerja pembinaan semula memakan masa selama bertahun-tahun, termasuk membersihkan bom atau senjata yang tidak meletup serta berjuta-juta tan runtuhan.
Laporan itu, yang dikeluarkan di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh bermula pada 19 Januari lalu, memberi amaran bahawa syarat-syarat belum disediakan untuk kerja-kerja pemulihan dan pembinaan semula berskala besar untuk dimulakan memandangkan keadaan yang masih samar tentang bagaimana wilayah Gaza akan dibangunkan selepas perang selain pentadbiran keselamatan yang akan dilakukan.
“Kepantasan, skala dan skop pemulihan akan dibentuk oleh keadaan ini,” katanya.
IRDNA berkata lebih daripada 292,000 buah rumah telah musnah atau rosak dan 95 peratus daripada hospital sedia ada tidak berfungsi, manakala ekonomi tempatan telah menguncup sebanyak 83 peratus.
Lebih separuh daripada jumlah anggaran kos pembinaan semula, atau AS$29.9 bilion, diperlukan untuk membaiki kerosakan bangunan dan infrastruktur lain, termasuk perumahan, yang memerlukan kira-kira AS$15.2 bilion untuk membina semula, katanya.
AS$19.1 bilion lagi diperlukan untuk menampung kerugian sosial dan ekonomi, termasuk sektor kesihatan, pendidikan, perdagangan dan industri yang musnah dalam konflik itu, katanya. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.