Tumpuan :
Dunia

Lebih 70 ancaman bom palsu diterima beberapa syarikat penerbangan India

FOTO: Reuters

NEW DELHI: Lebih 70 ancaman bom palsu dibuat terhadap pesawat yang dikendalikan oleh beberapa syarikat penerbangan di India pada minggu ini sehingga mencetuskan ketakutan dalam kalangan penumpang dan kelewatan penerbangan di seluruh dunia, lapor media tempatan.

Walaupun semua penerbangan dilaporkan mendarat dengan selamat, siri ancaman itu menyebabkan pesawat terpaksa bertukar laluan ke Kanada dan Jerman serta jet pejuang dikerah mengiringi pesawat di ruang udara Britain dan Singapura.
Kerajaan India dan pihak berkuasa penerbangan awam sudah memberi amaran tindakan ‘tegas’ akan dikenakan kepada pihak bertanggungjawab.

Sementara itu, pihak berkuasa penerbangan awam di New Delhi tidak menyatakan jumlah ancaman diterima dalam tempoh minggu lalu, tetapi Times of India dan penyiar News18, melaporkan lebih 70 ancaman bom palsu yang menyasarkan penerbangan domestik dan antarabangsa sejak 13 Oktober lalu.

Untuk tempoh 24 jam, sekurang-kurangnya 30 ancaman bom palsu diterima sekali gus memberi impak kelewatan dan pengalihan laluan terhadap jadual penerbangan dan kos syarikat penerbangan.

Terdahulu, The Indian Express melaporkan satu akaun tanpa nama di aplikasi X digantung selepas menyiarkan ancaman bom terhadap sekurang-kurangnya 40 penerbangan pada semalam dan kelmarin.
Ia termasuk syarikat penerbangan India dan antarabangsa dari Amerika Syarikat dan New Zealand.

Antara penerbangan terkini yang terjejas ialah penerbangan Air India dari Mumbai ke New York, di mana pegawai keselamatan AS melakukan pemeriksaan keselamatan selepas pesawat mendarat dengan selamat semalam.
Penerbangan lain adalah Air India dari New Delhi ke Chicago yang terpaksa membuat pendaratan kecemasan di bandar utara Kanada, Iqaluit, pada Selasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini