ALBAY: Sekurang-kurangnya 628 orang yang dipindahkan ke tempat perlindungan, jatuh sakit akibat letusan Gunung Berapi Mayon.
Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan merekodkan sekurang-kurangnya 10 jenis penyakit yang menjejaskan mangsa yang berusia dua hingga 64 tahun itu termasuk batuk, selsema, demam, gastroenteritis, jangkitan pernafasan akut dan penyakit kulit.
Menurut agensi itu, hampir 39,000 orang terjejas akibat letusan Mayon yang bermula pada 8 Jun lalu.
Sehingga kini lebih 20,000 penduduk di zon bahaya di sekitar Gunung Berapi Mayon dipindahkan.
Mayon terletak di wilayah Albay, kira-kira 500 kilometer tenggara Manila ibu negara Filipina.
Wilayah itu yang diletakkan dalam keadaan bencana, menubuhkan 28 pusat pemindahan kebanyakannya bangunan sekolah, untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina pada Isnin merekodkan aliran piroklastik selama tiga minit dari kubah lava gunung berapi yang runtuh.
Gunung Berapi Mayon kali terakhir meletus pada 2018, mengakibatkan lebih 23,000 orang dipindahkan dari sembilan bandar dan majlis perbandaran.