TEL AVIV: Lebih 60 orang cedera dalam serangan dron pejuang Hizbullah yang menyasarkan wilayah Binyamina di utara Israel.
Melalui satu kenyataan dikeluarkan, organisasi kecemasan sukarelawan Kesatuan Hatzalah berkata, terdapat mangsa yang parah dan cedera ringan akibat serangan itu.
Kesemua mereka telah dikejarkan ke lima buah hospital sama ada dengan ambulans atau helikopter.
Pasukan pejuang Hizbullah mengaku bertanggungjawab atas serangan itu yang menyasarkan kem latihan Briged Golani, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) di kawasan itu, yang berpangkalan di antara Tel Aviv dan Haifa.
Pejabat media kumpulan berkenaan berkata, serangan terbabit sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di selatan Lubnan dan Beirut pada Khamis.
Hizbullah turut memakluan, pasukan tu menyasarkan kem di utara Israel menggunakan “sekumpulan dron.”
Peraturan lembaga penapisan Israel menghalang saluran media menyatakan dengan tepat di mana atau apa yang disasarkan, namun, beberapa media melaporkan, lokasi itu diserang oleh dron peringkat rendah yang dilancarkan dari Lubnan – senjata yang tidak begitu canggih yang nampaknya tidak mengaktifkan penggera amaran awal.
Rakaman disiarkan oleh media Israel menunjukkan mereka yang cedera dibantu masuk ke dalam kenderaan kecemasan, termasuk helikopter.
Dalam pada itu menurut sumber, media Israel melaporkan 67 orang cedera termasuk empat berada dalam keadaan kritikal dan lima lagi parah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.