SHANGHAI: Forum Inovasi Media Global kali kedua anjuran bersama oleh Kumpulan Media China (CMG) dan kerajaan Shanghai membuka tirainya pada Khamis.
Berlangsung secara hibrid dengan tema ’Terbuka, Inklusif dan Sama Menang – Berganding Bahu dalam Perjalanan Modenisasi’, forum itu disertai lebih 230 wakil dari pertubuhan antarabangsa, agensi media arus perdana dan kumpulan pemikir serta syarikat transnasional.
Presiden CMG, Shen Haixiong, berkata dalam rangka tindakan Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global yang dikemukakan Presiden Xi Jinping, media bertanggung jawab untuk berganding bahu bagi mendorong pembangunan modenisasi dan kemajuan manusia.
“Kita seharusnya bertanggungjawab untuk melaporkan kepelbagaian modenisasi, menginovasi penyiaran media, membentuk ekologi media global yang adil, objektif, positif dan sihat, memperdalam kerjasama media, mendorong persefahaman dalam kalangan rakyat serta saling belajar antara pelbagai peradaban bagi meyumbang lebih banyak idea dan kekuatan untuk modenisasi manusia,” kata beliau.
Setiausaha Agung Persatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU), Ahmed Nadeem, pula menyifatkan modenisasi ala China sebagai peluang baharu pembangunan global. Jelas beliau, ia juga bukan sahaja menambah baik kehidupan rakyat China, malah turut memberi ilham dan menyediakan pengalaman kepada negara lain.
Bagi Presiden Reuters, Paul Bascobert, beliau berharap agar perintis dari pelbagai tempat dan sektor dapat berusaha bersama untuk menangani cabaran besar dan mencari perjalanan pembangunan yang mensejahterakan umat manusia.
Inisiatif Bersama Forum Inovasi Media Global yang kedua turut dilancarkan pada forum itu. – BERNAMA-CMG