Tumpuan :
Dunia

Lebih 140 cedera, kereta api bertembung trak

Foto: Reuters

VOLGOGRAD: Sekurang-kurangnya 140 cedera selepas kereta api yang membawa lebih 800 penumpang bertembung dengan sebuah trak di Volgograd, selatan Rusia.

Rakaman media tempatan memaparkan bahagian gerabak terbalik, serpihan pengangkutan pecah bertaburan di sebelah landasan kereta api.

Selain beberapa gerabak terkeluar dari landasan.

Menurut Gabenor Wilayah Volgograd Selatan, kereta api yang membawa kira-kira 800 penumpang di antara Kazan dan Adler itu bertembung dengan trak terbabit di laluan kereta api melintas tanpa sistem kawalan.

Kerja menyelamat dan membersih lokasi itu giat dijalankan.

Kenyataan awal Kementerian Situasi Kecemasan Rusia, (Emercom) melaporkan, meskipun tiada kemalangan jiwa, namun angka mangsa yang cedera melebihi 100 orang.

Foto: Reuters

Dalam pada itu, agensi berita tempatan melaporkan, kira-kira 30 orang dikejarkan ke hospital termasuk 15 kanak-kanak manakala 22 kru ambulans dihantar ke tempat kejadian untuk merawat mangsa yang cedera.

Jawatankuasa siasatan mengesahkan sudah memulakan siasatan jenayah susulan kejadian itu.

Russian Railways iaitu syarikat pengendali kereta api terbabit, menyalahkan pemandu trak yang didakwa sebagai punca nahas.

Pemandu trak didakwa melanggar peraturan lalu lintas dengan memandu ke arah persimpangan dalam keadaan sistem isyarat berfungsi dengan baik.

Biarpun pemandu kereta api menggunakan brek kecemasan, namun rempuhan tidak dapat dielak kerana jarak yang dekat ketika pengangkutan itu bergerak dengan kelajuan 65 kilometer sejam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini