comscore
Tumpuan :
Dunia

Lebih 1,000 kanak-kanak Palestin diamputasi – UNICEF

TEHRAN: Jurucakap Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) James Elder mengumumkan bahawa lebih 1,000 kanak-kanak Palestin diamputasi akibat serangan tentera rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza sejak 100 hari lalu.

Elder berkata pada Isnin bahawa bantuan kemanusiaan adalah sangat sedikit dan sukar untuk menyediakan perkhidmatan bantuan, sambil menambah bahawa pesakit mati akibat kekurangan ubat, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

Terdahulu pada 22 Disember 2023, UNICEF menganggarkan bahawa dalam beberapa minggu akan datang, sekurang-kurangnya 10,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun akan mengalami kekurangan zat makanan yang paling mengancam nyawa, dan akan memerlukan makanan terapeutik.

“Risiko yang tidak boleh diterima ini datang ketika sistem makanan dan kesihatan di Semenanjung Gaza menghadapi keruntuhan sepenuhnya.

“Lebih daripada 80 peratus kanak-kanak mengalami kemiskinan makanan yang teruk, dan lebih daripada dua pertiga hospital tidak lagi berfungsi kerana kekurangan bahan api, air, dan bekalan perubatan penting atau kerana mereka mengalami kerosakan besar dalam serangan,” kata UNICEF. — BERNAMA-IRNA

Loading...
Terkini