GAZA: Puluhan ribu rakyat Palestin mula bergerak menuju ke utara Gaza selepas Israel membuka sekatan jalan raya, apabila Hamas bersetuju untuk menyerahkan tebusan wanita Israel, Arbel Yehud, bersama dua tebusan lain.
Penduduk Palestin bergerak dalam jumlah besar dengan berjalan kaki di sepanjang jalan utama dari Wadi Gaza menuju ke wilayah utara.
Saksi berkata penduduk pertama tiba di Gaza City pada awal pagi selepas lintasan pertama di tengah Gaza dibuka pada jam 7 pagi (waktu tempatan).
Satu lagi lintasan dibuka pada jam 9 pagi.
Di bawah perjanjian gencatan senjata, penduduk di utara Gaza sepatutnya pulang hujung minggu lalu, tetapi Israel berkata Hamas melanggar perjanjian berkenan dengan tidak melepaskan tebusan awam, Yehud dan pihaknya bertindak menutup lintasan.
Qatar sebagai perantara berkata Hamas bersetuju untuk membebaskan Yehud dan dua tebusan lain sebelum Jumaat, dan Israel akan membenarkan penduduk Palestin kembali ke utara Gaza utara bermula Isnin.
Berikutan pengumuman itu, Hamas mengesahkan telah menyerahkan kepada pihak perantara maklumat yang diperlukan berkaitan senarai tebusan Israel yang akan dibebaskan semasa fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Langkah oleh Qatar dan Mesir itu akan membolehkan kira-kira 650,000 rakyat Palestin di tengah dan selatan Gaza kembali ke rumah mereka di utara wilayah itu, namun kebanyakannya musnah akibat 15 bulan serangan udara dan darat rejim zionis.
Lebih daripada 47,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.