Tumpuan :
Dunia

Larangan wanita bekerja untuk PBB isu dalaman Afghanistan – Taliban

FOTO: AFP

AFGHANISTAN: Pentadbiran kerajaan Taliban menyambut baik sebahagian daripada resolusi yang mengesahkan komitmen Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terhadap kedaulatan, kemerdekaan, integriti wilayah dan perpaduan negara Afghanistan.

Namun Taliban menyifatkan tindakan resolusi badan itu mengutuk larangan wanita Afghanistan bekerja untuk PBB adalah tidak wajar kerana ia adalah urusan sosial dalaman Afghanistan yang tidak memberi kesan kepada negara luar.

Kementerian Luar Afghanistan dalam kenyataannya turut menambah, kerajaan Taliban akan terus komited untuk memastikan semua hak wanita Afghanistan dijaga dan menekankan kepelbagaian mesti dihormati dan bukan dipolitikkan.

UNSC semalam sebulat suara menerima pakai resolusi yang mengutuk larangan wanita Afghanistan bekerja untuk PBB dan menggesa Taliban menukar segera dasar dan amalan yang menyekat kebebasan asasi wanita dan gadis.

Resolusi itu diusulkan oleh Emiriah Arab Bersatu dan Jepun dan ditaja bersama oleh lebih 90 negara. – BERNAMA-ANADOLU

Loading...
Terkini