VIENTIANE : Orang ramai di Laos digesa bersiap sedia menghadapi potensi kesan Taufan Talim yang akan melintasi negara itu sehingga Selasa, membawa hujan lebat dan angin kencang di wilayah tengah dan selatan Laos, lapor Xinhua.
Jabatan Meteorologi dan Hidrologi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Laos pada Isnin mengeluarkan amaran menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk melindungi kediaman dan harta benda.
Setakat pagi Isnin, Taufan Talim menghampiri wilayah pulau Hainan di selatan China pada kelajuan 130 kilometer (km) sejam dan diunjurkan meneruskan haluannya ke arah barat dan membadai utara Vietnam pada Selasa.
Semasa taufan merentasi Laos, kawasan tengah dan selatannya, termasuk wilayah Bolikhamxay, Khammouane, Savannakhet, Champasak, Saravan, Sekong dan Attapeu, dijangka berlaku angin monsun kencang serta ribut petir, kilat dan hujan lebat.
Biro cuaca Laos juga memberi amaran kepada orang ramai di seluruh negara untuk sentiasa mengemas kini nasihat cuaca terkini dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan selain melindungi harta benda mereka . — BERNAMA-XINHUA