comscore
Tumpuan :
Dunia

Laluan sukar Pita untuk jadi Perdana Menteri Thailand

Foto: Reuters

BANGKOK: Kini semua mata tertumpu kepada pemimpin dan calon perdana menteri daripada Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat, selepas meraih kemenangan yang menakjubkan pada pilihan raya umum (PRU) 14 Mei.

Eksekutif perniagaan berusia 42 tahun itu adalah calon utama untuk mengisi jawatan perdana menteri.

Foto: Reuters

Menerusi akaun Twitternya, Pita berkata akan tetap berkhidmat untuk rakyat meskipun ada di antaranya yang tidak bersetuju dan bukan pengundinya.

Berdasar keputusan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), MFP yang diterajui oleh Pita memperoleh lebih 14.2 juta undi dan menguasai 152 daripada 500 kerusi di Dewan Perwakilan.

Parti itu mempunyai bilangan kerusi paling banyak dan mendahului pesaing terdekatnya Parti Pheu Thai.

Foto: Reuters

Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thailand yang dibuang negeri, Thaksin Shinawatra, memenangi lima pilihan raya umum sebelum ini, tetapi dinafikan hak untuk mentadbir dan (PRU) kali ini menyaksikan Pheu Thai memenangi 141 kerusi.

Khamis lalu, gabungan terdiri lapan parti yang diketuai MFP dibentuk, membolehkan gabungan itu menguasai 313 daripada 500 kerusi.

Sebanyak 400 kerusi diperuntukkan untuk calon yang memenangi pilihan raya dan 100 kerusi lagi berdasarkan perwakilan berkadar.

Gabungan itu merangkumi lapan parti iaitu MFP yang memenangi 152 kerusi, Pheu Thai (141), Prachachat (sembilan), Thai Sang Thai (enam), Pue Thai Rumphlang (dua) dan Thai Liberal, Fair Party serta Plung Sungkom Mai masing-masing memperoleh satu kerusi.

Gabungan itu bersetuju menyokong Pita sebagai calon perdana menteri.

Meskipun bilangan kerusi dimiliki dilihat menggalakkan, namun tidak menjamin gabungan itu dapat membentuk kerajaan.

Bukan saja 500 Ahli Parlimen yang baharu dipilih mempunyai peranan dalam menentukan siapakah yang akan menjadi perdana menteri, perlu diingat bahawa 250 Senator yang dilantik oleh kerajaan tentera Prayuth selepas rampasan kuasa 2014 turut terbabit dalam proses memilih perdana menteri.

Pita dijangka perlu melalui laluan sukar dan kejutan mungkin berlaku kerana berdasarkan rekod lampu, Senator sering berpihak kepada parti yang disokong tentera.

Parlimen dijadualkan bersidang pada 25 Julai, dengan sidang bersama dirancang pada minggu pertama Ogos untuk memilih perdana menteri.

Loading...
Terkini