KYIV: Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha, menggesa rakan sejawatnya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mempercepatkan jemputan kepada Kyiv untuk menyertai pakatan itu dalam mesyuarat di Brussels minggu depan.
Desakan itu dibuat supaya pihak berkenaan dapat menyertai perikatan ketenteraan Barat itu, menurut kandungan surat yang dilihat oleh Reuters semalam.
Surat itu mencerminkan usaha baharu Ukraine untuk mendapatkan jemputan menyertai NATO, yang juga sebahagian daripada ‘strategi’ digariskan bulan lalu oleh Presidennya, Volodymyr Zelenskiy, bagi menamatkan perang yang tercetus akibat pencerobohan Russia pada 2022.
Zelenskiy memberitahu Sky News yang berpangkalan di United Kingdom (UK) untuk segera menawarkan keahlian NATO kepada Ukraine.
Pada masa sama, Ukraine membenarkan Russia buat sementara waktu mengekalkan wilayahnya yang sudah ditawan sebagai penyelesaian bagi menamatkan fasa ‘panas’ perang yang berlangsung selama 33 bulan itu.
Ukraine mengakui bahawa negaranya tidak dapat menyertai perikatan itu sehingga perang tamat.
Namun, jemputan NATO akan menunjukkan kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, bahawa beliau tidak dapat mencapai salah satu matlamat utamanya iaitu menghalang Kyiv daripada menganggotai pakayan itu.
“Jemputan ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu tindakan untuk meningkatkan konflik.
“Sebaliknya, dengan pemahaman yang jelas bahawa keahlian Ukraine dalam NATO tidak dapat dielakkan, Russia akan kehilangan salah satu hujah utamanya untuk meneruskan perang yang tidak berasas ini,” tulis Sybiha dalam surat berkenaan.
Sementara itu, Zelenskiy menggesa pihak berkenaan untuk menyokong keputusan menjemput Ukraine menyertai perikatan itu sebagai salah satu hasil daripada Mesyuarat Menteri Luar NATO pada 3 dan 4 Disember ini.
Zelenskiy memberitahu Sky News bahawa jemputan itu perlu diberikan secara rasmi kepada seluruh negara kerana Ukraine tidak mempunyai hak undang-undang untuk mengiktiraf mana-mana bahagiannya sebagai milik Russia.
Keahlian NATO pada awalnya hanya boleh merujuk kepada bahagian Ukraine yang dikuasai oleh Kyiv.
“Tiada siapa yang menawarkan kami berada dalam NATO dengan hanya membabitkan satu bahagian atau bahagian lain dari Ukraine.
“Hakikatnya, ia adalah penyelesaian untuk menghentikan fasa panas perang ini kerana kami hanya boleh memberikan keahlian NATO kepada bahagian Ukraine yang berada di bawah kawalan kami.
“Jemputan mesti diberikan kepada Ukraine mengikut sempadannya yang diiktiraf secara antarabangsa… Itulah yang perlu kita lakukan dengan pantas dan selepas itu, Ukraine boleh mendapatkan semula bahagian lain wilayahnya secara diplomatik,” Zelenskiy.
Bagaimanapun, diplomat NATO berkata tiada persetujuan dalam kalangan anggota perikatan itu untuk menjemput Ukraine pada peringkat ini. Sebarang keputusan seperti itu memerlukan persetujuan daripada semua 32 negara anggota NATO.
NATO sudah mengisytiharkan bahawa Ukraine akan menyertai perikatan berkenaan dan negara itu berada di atas laluan yang ‘tidak dapat diubah’ untuk menjadi ahli tetapi ia belum mengeluarkan jemputan rasmi atau menetapkan sebarang garis masa.
Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Olga Stefanishyna, yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal NATO, berkata Kyiv memahami bahawa kesepakatan untuk jemputan menyertai perikatan itu ‘belum wujud’ tetapi surat terbabit boleh menghantar isyarat politik yang kuat.
“Kami sudah menghantar mesej kepada sekutu bahawa jemputan itu tidak ditolak, tanpa mengira manipulasi dan spekulasi yang berbeza mengenai perkara itu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.