LONDON: Kura-kura tertua di dunia yang diberi nama Jonathan, meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-190 di St Helena, pulau terpencil di Atlantik Selatan, baru-baru ini.
Portal NDTV melaporkan, Jonathan yang lahir pada 1832 dibawa dari Seychelles ke wilayah luar negara UK itu, 50 tahun kemudian.
Haiwan itu menjalani kehidupan selesa di Plantation House, kediaman rasmi gabenor St Helena.
Pada ulang tahun kelahirannya, ia diraikan dengan acara sepanjang hujung minggu termasuk pengeluaran setem khas.
Kemuncak sambutan adalah pada Ahad dengan kek ulang tahun yang dibuat daripada makanan kegemaran Jonathan.
Walaupun usianya sudah lanjut, haiwan itu menyukai seekor kura-kura betina bernama Emma, yang hanya berusia 50-an.
Pada awal tahun ini, Jonathan mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness (GWR) sebagai haiwan darat tertua di dunia dan kura-kura tertua, pada bulan ini. – AGENSI