Tumpuan :
Dunia

Kumpulan The Hague ulangi komitmen, gesa negara lain perjuang keadilan buat Palestin

The Hague, Belanda. FOTO: Reuters

THE HAGUE: Malaysia bersama lapan negara anggota ‘Kumpulan The Hague’ mengulangi komitmen menegakkan undang-undang antarabangsa buat Palestin.

Dalam kenyataan bersama sulungnya, kumpulan itu juga menegaskan akauntabiliti terhadap jenayah di negara itu turut akan diperjuangkan.

Kenyataan itu dibacakan wakil dari Afrika Selatan, Zane Dangor dalam satu sidang media bersama.

Malaysia yang diwakili Duta Besarnya ke Belanda, Datuk Roseli Abdul berkata, gerakan itu antara lain menegaskan tanggungjawab negara anggota menjamin hak rakyat Palestin termasuk hak menentukan nasib sendiri.

“Malaysia kekal komited bagi menyokong tindakan undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan berharap ahli komuniti antarabangsa akan bekerjasama untuk memperjuangkan tanggungjawab mereka di bawah lunas undang-undang antarabangsa.”

“Bagi mencapai kebertanggungjawaban ini, ketidakadilan sejarah, penindasan terhadap kewujudan dan hak-hak rakyat Palestin perlu diberi perhatian.” Katanya.

Kumpulan ini juga mengingatkan mengenai waran tangkap dikeluarkan ICJ terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.

Mereka juga berikrar menghalang pemberian atau pemindahan senjata, peluru dan peralatan berkaitan kepada Isreal selain mencegah kapal dari berlabuh sekiranya wujud risiko jelas ia digunakan untuk mengangkut bahan bakar tentera dan senjata ke negara itu.

Semua negara turut digesa mengambil langkah berkesan bagi menamatkan penjajahan rejim zionis ke atas Palestin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini