GAZA: Hospital dan Pusat Perubatan di Gaza kini hanya memiliki baki bekalan bahan api bagi tempoh dua hari sebelum terpaksa menyekat khidmat perubatan.
Ia dimaklumkan Kementerian Kesihatan di Gaza dikendalikan Hamas, sejurus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penghantaran bantuan ke wilayah dilanda peperangan itu dilumpuhkan.
Amaran dibuat sehari selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoavav Gallant.
PBB dan pihak lain sebelum ini berulang kali mengecam keadaan kemanusiaan terutama di utara Gaza.
Israel pula mendakwa pihaknya membunuh dua komander yang terbabit dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang.
Pakar perubatan Gaza berkata, serbuan semalaman Israel ke atas bandar Beit Lahia dan Jabalia mengakibatkan puluhan penduduk terkorban atau hilang.
Menurut Pengarah hospital lapangan Gaza, Marwan al-Hams, semua operasi hospital di wilayah Palestin akan dihentikan atau tempoh perkhidmatan akan dipendekkan ekoran sekatan kemasukan bahan api oleh Israel.
Dalam pada itu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan dan keadaan kira-kira 80 pesakit.
Bantuan kritikal di seluruh Gaza termasuk makanan, air, bahan api dan bekalan perubatan telah terhenti sejak lebih enam minggu lalu.
Ia rentetan pihak berkuasa Israel mengharamkan import komersial selain turut berlaku lonjakan dalam rompakan bersenjata membabitkan konvoi penghantaran bantuan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.