BAMAKO: Perdana Menteri Mali, Choguel Maiga, dipecat daripada jawatannya bersama anggota kabinet kerajaan, menurut pengumuman yang dibuat melalui siaran televisyen rasmi negara, ORTM, pada Rabu.
Setiausaha Presiden Mali, Alfousseyni Diawara, dalam kenyataan rasminya mengesahkan pemecatan jawatan itu.
“Presiden Peralihan, Ketua Negara, berdasarkan Perlembagaan, Piagam Peralihan, dan Undang-undang n°22.001 bertarikh 25 Februari 2022, memutuskan: Artikel 1, fungsi Perdana Menteri dan anggota kerajaan ditamatkan.”
Pemecatan itu berlaku selepas Maiga secara terbuka mengkritik kelewatan junta tentera dalam menganjurkan pilihan raya, yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh peralihan 24 bulan ke arah demokrasi.
Tentera junta yang merampas kuasa \pada 2020 dan 2021 sebelum ini berjanji untuk mengadakan pilihan raya pada Februari lalu, namun menangguhkannya atas alasan teknikal.
Minggu lalu, Maiga menyatakan kekecewaannya kerana keputusan penangguhan pilihan raya dibuat tanpa perbincangan dalam kerajaan, dan dia hanya mengetahuinya melalui laporan media.
Kenyataan itu mencetuskan ketegangan dengan junta, sehingga menyebabkan mesyuarat majlis menteri yang dijadualkan Rabu lalu dibatalkan, menurut sumber terdekat Maiga kepada Reuters.
Pemecatan Maiga menambah ketidakstabilan politik di Mali yang terus bergelut dengan cabaran peralihan kuasa ke arah pemerintahan demokrasi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.