COLOMBO: Ribuan anggota parti politik, kesatuan perdagangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kembali ke jalanan mengadakan protes susulan krisis ekonomi di ibu kota Sri Lanka.
Polis Sri Lanka turut menghalang lebih seribu penunjuk perasaan daripada berarak ke stesen kereta api utama di ibu negara, Colombo, bagi menuntut pembebasan dua pemimpin protes.
Mereka turut menuntut kerajaan memansuhkan undang-undang anti keganasan yang tegar, digunakan untuk menahan pemimpin penunjuk perasaan membantah krisis ekonomi yang berlarutan sejak April lalu.
Seorang penganjur protes, Rev Jeewantha Peiris, berkata dua pemimpin penunjuk perasaan, Wasantha Mudalige dan Galwewa Siridhamma ditahan tanpa alasan selama 74 hari di bawah Akta Pencegahan Keganasan.
Mudalige dan Siridhamma terbabit dalam tunjuk perasaan sejak awal tahun ini dan penahanan mereka dikecam umum.
Ahli Parlimen pembangkang, Eran Wickremerantne, berkata tunjuk perasaan diadakan kerana kerajaan tidak menghormati hak demokratik rakyat.
Sri Lanka berdepan keadaan tegang sejak April lalu apabila protes besar-besaran pelbagai pihak menentang dan mengkritik kaedah kerajaannya menangani ekonomi mereka.
Mata wang Sri Lanka merudum selepas kejatuhan sumber ekonomi utamanya iaitu industri pelancongan, selain bebanan hutang.
Sekurang-kurangnya 22 juta rakyat di negara itu bergelut krisis ekonomi sehingga tidak mampu untuk membayar makanan, petrol dan pelbagai keperluan, selain bekalan elektrik terganggu akibat krisis tenaga.
Julai lalu, Ranil Wickremesinghe, mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu, ketika negara masih berdepan krisis kewangan terburuk susulan hutang asing mencecah AS$51 bilion (RM242 bilion) – AGENSI