PYONGYANG: Korea Utara melakukan ujian peluru berpandu strategik laut ke darat.
Agensi berita KCNA menyatakan, ujian persenjataan itu mengenai tepat pada sasarannya.
Menurut pemimpin negara itu, Kim Jong-un, keupayaan pencegahan perang Korea Utara sedang disempurnakan dengan lebih menyeluruh.
Peluru berpandu berkenaan sampai tepat kepada sasaran selepas mengorbit sejauh 1,500 kilometer (km) dan dilaporkan tidak mengakibatkan kesan negatif terhadap keselamatan negara-negara jiran.
Bagaimanapun lokasi ujian itu tidak dinyatakan.
Ujian senjata oleh Pyongyang ini adalah pertama kali sejak Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kembali ke White House.
Sebelum itu, Korea Utara sudah melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat darat ke laut dan laut ke darat.
Trump, yang pernah mengadakan siri pertemuan dengan Jong-un ketika penggal pertamanya, menyebut akan cuba menghubunginya sekali lagi.
Trump juga menyifatkan pemimpin Korea Utara itu sebagai seorang yang bijak.
Dalam pada itu, hubungan Pyongyang dan Seoul berada pada tahap terendah beberapa tahun ini, dengan Korea Utara melancarkan pelbagai peluru berpandu balistik tahun lalu, yang melanggar beberapa sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.