Tumpuan :
Dunia

Korea Utara tegaskan senjata nuklear negara untuk pertahanan, bukan ‘alat rundingan’

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, melawat pangkalan pengeluaran bahan nuklear dan institut senjata nuklear negara itu, di lokasi yang tidak didedahkan di Korea Utara.-FOTO REUTERS

SEOUL: Korea Utara menegaskan bahawa senjata nuklearnya tidak dibangunkan sebagai alat tawar menawar, sebaliknya adalah bagi pertahanan, untuk digunakan dalam pertempuran memerangi musuh yang mengancam rakyatnya dan keamanan dunia.

Media rasmi negara itu, KCNA, melaporkan kenyataan berkenaan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menerima kunjungan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, di Rumah Putih, semalam.

Kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen mereka untuk memastikan Korea Utara menamatkan program senjata nuklearnya.

KCNA, bagaimanapun tidak menyebut mengenai pertemuan antara pemimpin AS dan Jepun, sebaliknya memetik kenyataan pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) yang mengulangi tuntutan Korea Utara melucutkan senjata nuklear sepenuhnya.

“Kami tegaskan sekali lagi bahawa senjata nuklear kami bukan alat untuk mendapatkan pengiktirafan sesiapa, apatah lagi sebagai bahan tawar-menawar yang boleh ditukar dengan wang.

“Kekuatan nuklear kami adalah untuk kegunaan pertempuran tanpa tolak ansur, bertujuan menghapuskan sebarang cubaan musuh untuk mencabuli kedaulatan negara kami, mengancam keselamatan rakyat dan keamanan dunia,” lapor KCNA memetik kenyataan pegawai berkenaan.

Dalam pada itu, Korea Utara tidak memberikan maklum balas secara langsung terhadap usaha Trump untuk menyambung semula hubungan dengan pemimpinnya, Kim Jong-un, sebaliknya menegaskan niatnya untuk terus memperkukuh keupayaan nuklear.

Semalam, Trump mendakwa beliau akan menjalinkan kembali hubungan baik dengan Korea Utara dan Jong-un. Kedua-dua pemimpin berkenaan pernah mengadakan pertemuan bersejarah ketika penggal pertama Trump sebagai Presiden AS.

Ketika mengangkat sumpah bagi penggal kedua pada 20 Januari lalu, Trump menyatakan Korea Utara sebagai kuasa nuklear, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada beliau akan meneruskan rundingan pengurangan senjata atau kembali ke meja rundingan pelucutan senjata nuklear.

“AS dan Jepun menyatakan kebimbangan serius dan keperluan untuk menangani program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

“Kami juga menegaskan komitmen tegas terhadap pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di Korea Utara,” menurut kenyataan bersama Trump dan Ishiba selepas pertemuan mereka. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini