TOKYO: Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik, pelancaran ketujuh oleh Pyongyang dalam beberapa hari kebelakangan ini yang menambah kebimbangan meluas di Washington dan sekutunya di Tokyo dan Seoul.
Kedua-dua peluru berpandu itu mencapai ketinggian 100 kilometer (km) dan meliputi jarak 350km, kata Menteri Pertahanan Jepun, Toshiro Ino kepada pemberita.
Peluru pertama dilancarkan kira-kira jam 1.47 pagi waktu tempatan, manakala yang kedua kira-kira enam minit kemudian.
Kedua-dua peluru itu jatuh di luar zon ekonomi eksklusif Jepun dan pihak berkuasa sedang meneliti jenis peluru berpandu yang dilancarkan, termasuk kemungkinan ia adalah peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh kapal selam.
Tentera Amerika Syarikat (AS) memaklumkan sedang berunding rapat dengan sekutu dan rakan kongsi berikutan pelancaran itu yang dikatakan menonjolkan ‘kesan ketidakstabilan’ senjata nuklear Korea Utara dan program peluru berpandu balistik.
Namun, AS menilai pelancaran terbaru itu tidak menimbulkan ancaman kepada kakitangannya atau sekutu Amerika.
“Komitmen AS terhadap pertahanan Republik Korea dan Jepun kekal kukuh,” kata Komando Indo-Pasifik AS yang berpangkalan di Hawaii dalam satu kenyataan.
“Pelancaran peluru berpandu terbaru oleh Korea Utara adalah ‘provokasi serius’ yang menjejaskan keamanan, kata tentera Korea Selatan hari ini.
Selasa lalu, Korea Utara menguji peluru berpandu balistiknya lebih jauh berbanding sebelum ini, dengan melancarkannya ke atas Jepun buat kali pertama dalam tempoh lima tahun dan mendorong amaran kepada penduduk di negara itu untuk berlindung.
Ino berkata, Tokyo tidak akan bertolak ansur dengan tindakan berulang oleh Korea Utara dan insiden berkenaan adalah pelancaran ketujuh seumpama itu sejak 25 September lalu.
Korea Utara, yang menjalankan ujian peluru berpandu dan nuklear dengan mengingkari sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dilaporkan berkata peluru berpandunya adalah untuk mempertahankan diri terhadap ancaman tentera AS secara langsung dan tidak menjejaskan keselamatan negara dan wilayah jiran. – REUTERS
