comscore
Tumpuan :
Dunia

Korea Utara bidas AS jadi dalang pakatan ketenteraan Jepun dalam NATO 

SEOUL : Korea Utara yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) membantu Jepun untuk mencapai pakatan ketenteraan dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), mengecam Washington kerana berhasrat membina blok tentera di rantau Asia-Pasifik.

Penyelidik Institut Kajian Jepun bagi Kementerian Luar Korea Utara, Kim Sol-hwa, berkata hubungan tentera Jepun dan NATO yang belum pernah berlaku sebelum ini telah mencetuskan kebimbangan besar dalam masyarakat antarabangsa, lapor Yonhap.

Dalam artikel yang disiarkan Agensi Berita Pusat Korea Utara, Kim berkata pakatan sulit tentera Jepun dengan NATO itu termasuk rancangan Jepun untuk membuka pejabat perhubungan NATO di Tokyo yang pertama di Asia.

“Apa yang tidak boleh diabaikan ialah niat AS untuk memegang kedudukan hegemoninya di rantau Asia-Pasifik dengan mewujudkan ’NATO versi Asia’ dan berselindung di sebalik perpaduan Jepun-NATO yang membimbangkan,” menurut KCNA.

Penyelidik itu berkata kini bukan lagi rahsia bahawa AS bekerja untuk mewujudkan blok ketenteraan di rantau Asia-Pasifik seperti penubuhan NATO selepas tamat Perang Dunia Kedua dengan alasan untuk mempertahan Barat daripada pencerobohan komunis.

Pegawai itu turut menyelar tindakan Jepun kerana berusaha untuk menjadi “gergasi tentera” dengan menjemput NATO tetamu yang tidak diundang dan Tokyo bakal berdepan kehancuran kedua jika tetap meneruskan hubungan ketenteraan sedemikian dengan pihak luar.  — BERNAMA-YONHAP

Loading...
Terkini