SEOUL: Korea Utara dilaporkan sedang bersiap sedia untuk meletupkan jalan-jalan yang melintasi sempadan dengan Korea Selatan.
Tindakan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan peningkatan konflik selepas Korea Utara mendakwa Seoul menghantar dron mengandungi risalah anti-Korea Utara ke negara itu.
Menurut Pengarah Hal Ehwal Awam, Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan, Lee Sung-Jun, tentera Korea Utara dilihat sedang menjalankan kerja-kerja persiapan di jalan-jalan di sepanjang sempadan, yang melibatkan pemasangan pelindung dan kawasan penyamaran.
Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti kerja-kerja tersebut sebagai persiapan untuk meletupkan jalan-jalan berkemungkinan berlaku seawal hari ini.
“Kami telah mengenal pasti pelindung yang dipasang di atas jalan, dengan kerja-kerja dilakukan di belakangnya. Persiapan sedang dibuat untuk meletupkan jalan-jalan tersebut. Kemungkinan tindakan ini akan dilakukan secepat hari ini, dan seperti yang diumumkan oleh Korea Utara, mereka mungkin meneruskan letupan tersebut,” katanya.
Menurut Kolonel Lee, tentera Korea Selatan kini sedang memantau dengan teliti pergerakan tentera Korea Utara dan bersiap sedia sepenuhnya untuk bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan.
“Korea Utara semalam melaporkan bahawa tenteranya telah mengeluarkan arahan untuk kesiapsiagaan tembakan penuh di sepanjang sempadan. Tentera kami sedang memantau dengan rapi pergerakan tentera Korea Utara dan bersiap sedia sepenuhnya untuk bertindak balas terhadap sebarang provokasi yang mungkin berlaku,” tambahnya.
Tindakan itu juga menyusuli kenyataan Korea Utara minggu lalu bahawa ia akan memutuskan sepenuhnya jalan dan landasan kereta api yang menghubungkan Korea Selatan.
Media rasmi Korea Utara, KCNA, turut melaporkan tindakan tersebut sebagai langkah balas terhadap tuduhan Korea Selatan menghantar dron untuk menyebarkan sejumlah besar risalah anti-Korea Utara di Pyongyang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.