SEOUL: Agensi kawalan penyakit Korea Selatan memaklumkan pada Selasa bahawa negara ini telah merekodkan kes pertama kematian akibat batuk kokol yang melibatkan seorang bayi, lapor Xinhua.
Seorang bayi yang berusia kurang daripada dua bulan disahkan positif batuk kokol, penyakit berjangkit saluran pernafasan yang sangat mudah merebak, pada penghujung Oktober dan meninggal dunia minggu lepas berikutan simptom yang semakin teruk, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).
Ini merupakan kematian pertama dilaporkan akibat penyakit ini sejak KDCA mula mengumpul data berkaitan pada 2011.
Batuk kokol, biasanya menyerang kanak-kanak dan menyebabkan batuk teruk serta kesukaran bernafas.
Jumlah kes batuk kokol yang dilaporkan meningkat mendadak tahun ini, dengan 30,332 individu disahkan dijangkiti penyakit ini setakat minggu pertama November, berbanding hanya 292 kes yang dilaporkan sepanjang tahun 2023.
Agensi kawalan penyakit itu menggesa wanita hamil, keluarga, penjaga, dan petugas kesihatan untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi bayi daripada penyakit ini. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.