Tumpuan :
Dunia

Korea Selatan belanja AS$7 juta perangi ‘deepfake’

FOTO: Reuters

SEOUL: Polis Korea Selatan merancang membelanjakan hampir AS$7 juta (RM29.47 juta) dalam tempoh tiga tahun bagi memerangi teknologi ‘deepfake’, peniruan suara serta pelbagai bentuk penipuan digital lain.

Kebelakangan ini, pihak berkuasa menemui rangkaian terbesar di Telegram, dengan pengguna berkongsi pornografi ‘deepfake’ dihasilkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menggambarkan pelajar dan kakitangan wanita.

Pendedahan itu menimbulkan rasa kurang senang orang awam sekaligus membawa kepada ikrar tindakan tegas kepada pelaku oleh pemimpin negara berkenaan.

FOTO: Reuters

Menurut Agensi Polis Nasional Seoul 2.7 bilion won diperuntukkan dalam setahun sehingga 2027 bagi membangunkan teknologi pembelajaran mendalam bagi mengesan kandungan yang dihasilkan secara digital seperti ‘deepfake’ dan peniruan suara.

Selain itu, mereka juga akan membelanjakan ratusan ribu dolar untuk menaik taraf perisian yang sedia ada bagi memantau ‘deepfake’ dan video lain yang dihasilkan oleh AI.

Korea Selatan yang mempunyai teknologi canggih sejak sekian lama memerangi keganasan siber seksual.

Bagaimanapun menurut angka rasmi, kes seumpama itu tetap meningkat 11 kali ganda tahun ini berbanding 2018.

Namun, kadar pendakwaan masih rendah dengan tahun 2021 hingga Julai tahun ini, sebanyak 793 jenayah ‘deepfake’ dilaporkan, tetapi hanya 16 orang berjaya ditangkap dan didakwa, menurut data polis.

Minggu lalu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, berkata isu ‘deepfake’ menimbulkan kebimbangan terutamanya dalam kalangan wanita, kerana ia adalah jenayah serius yang merosakkan keharmonian sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini