SEOUL: Kementerian Pengangkutan Korea Selatan pada Isnin mengumumkan bahawa pihaknya akan menjalankan pemeriksaan khas terhadap semua pesawat Boeing 737-800 di negara itu susulan nahas pesawat milik Jeju Air pada Ahad, lapor Xinhua.
Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan merancang untuk menjalankan pemeriksaan khas bagi pesawat B737-800, yang kebanyakannya digunakan oleh syarikat penerbangan tambang rendah tempatan.
Armada terbesar pesawat ini dikendalikan oleh Jeju Air dengan 39 pesawat, diikuti oleh T’way Air (27), Jin Air (19), Eastar Jet (10), Air Incheon (4), dan Korean Air (2).
Insiden melibatkan pesawat B737-800 milik Jeju Air itu berlaku ketika ia cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer ke barat daya Seoul pada Ahad.
Pesawat yang disyaki mengalami kegagalan gear pendaratan itu dilaporkan mendarat tanpa roda, menyebabkan ia tergelincir daripada landasan dan melanggar dinding pagar luar landasan.
Nahas itu mengakibatkan fiuslaj pesawat pecah serta terbakar.
— BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.