SEMENANJUNG GAZA: Rejim Zionis Israel terus angkuh dan hanya menutup mata kepada desakan antarabangsa.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menegaskan tidak akan melakukan gencatan senjata atau menghantar bekalan bahan api ke GAZA selagi Hamas tidak membebaskan tebusan.
Sementara itu, dalam serangan terbaharu, konvoi lima trak dan dua kenderaan pasukan Palang Merah yang dalam perjalanan membawa bekalan perubatan ke premis kesihatan termasuk Hospital al-Quds dibedil tentera rejim.
Menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, (ICRC), serangan berlaku di Gaza City menyebabkan dua trak rosak dan seorang pemandu cedera.
“Ini bukan keadaan yang mana pekerja kemanusiaan boleh bekerja.
“Kami di sini membawa bantuan segera kepada orang awam yang memerlukan. Memastikan bantuan penting boleh sampai ke kemudahan perubatan adalah kewajiban undang-undang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata ketua sub-delegasi ICRC di Gaza, William Schomburg.
Susulan tembakan, konvoi terpaksa mengubah laluannya menuju ke Hospital al-Shifa.
Ketika ini, kebanyakan hospital dan pusat penjagaan kesihatan terpaksa menutup operasi akibat dibom atau kekurangan bahan api dan bekalan perubatan.
Sekurang-kurangnya 102 serangan dilaporkan ke atas premis kesihatan di Gaza, setakat ini. – AGENSI