KAHERAH: Konvoi ketiga yang membawa bantuan ke Semenanjung Gaza berjaya memasuki persimpangan Rafah dari Mesir, menurut seorang pekerja bantuan dan sumber keselamatan.
Penghantaran bantuan melalui Rafah sudah bermula sejak Sabtu lalu selepas beberapa perbalahan yang berlaku berkaitan prosedur untuk memeriksa bantuan dan pengeboman di sempadan Gaza sehingga menyebabkan bahan bantuan terkandas di Mesir.
Rafah adalah lintasan utama keluar masuk Gaza yang tidak bersempadan dengan Israel.
Sejak Israel mengenakan pengepungan menyeluruh ke atas kawasan itu sebagai tindakan balas terhadap serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober, Rafah menjadi tumpuan bagi usaha untuk menyampaikan bantuan.
Sabtu lalu sebanyak 34 trak yang membawa bantuan berjaya dibawa masuk dan jumlah yang sama dilaporkan pada hari ini.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kira-kira 100 trak diperlukan setiap hari untuk memenuhi keperluan di Gaza yang menempatkan 2.3 juta orang yang ketika ini stok makanan, air dan bahan api semakin berkurangan. – REUTERS