Tumpuan :
Dunia

Kontraktor IT ceroboh Muzium British, pameran ditutup sementara

FOTO: Reuters

LONDON: Muzium British terpaksa menutup beberapa galeri selepas seorang bekas kontraktor IT yang dipecat didakwa menceroboh masuk dan mematikan beberapa sistem IT muzium berkenaan.

Menurut jurucakap muzium, suspek telah ditahan oleh pihak polis.

“Seorang kontraktor IT yang dipecat minggu lalu telah menceroboh masuk ke muzium dan menutup beberapa sistem kami,” kata jurucakap itu.

Akibat kejadian itu, pameran sementara muzium terpaksa ditutup sepanjang hujung minggu, manakala sebahagian koleksi tetap turut terjejas pada Jumaat.

Muzium yang terkenal dengan koleksi Rosetta Stone dan Parthenon Marbles, merupakan salah satu tarikan pelancongan utama di London.

Namun, mesej di laman web muzium memaparkan beberapa galeri terpaksa ditutup akibat masalah infrastruktur IT.

Kapasiti pengunjung juga dihadkan, dengan keutamaan diberikan kepada ahli dan pemegang tiket tempahan awal.

Insiden itu menjadi tamparan terbaru kepada reputasi Muzium British selepas pendedahan pada 2023 bahawa seorang bekas kakitangan disyaki terlibat dalam penjualan artifak yang dicuri daripada koleksi muzium.

Pada Ogos 2023, sekitar 1,800 artifak dilaporkan hilang atau dicuri. Muzium itu memecat seorang kakitangan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut dan melaporkannya kepada pihak polis. Walaupun tiada tangkapan dibuat, ratusan artifak berjaya ditemui semula.

Susulan skandal terbabit, pengarah muzium ketika itu, Hartwig Fischer, meletakkan jawatan. Nicholas Cullinan, bekas ketua Galeri Potret Kebangsaan, dilantik sebagai pengarah baharu pada tahun lalu untuk memulihkan reputasi institusi tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini