
WASHINGTON D.C: Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yakin dengan keupayaannya membawa ke meja rundingan perjanjian dengan Rusia bagi menamatkan konflik Ukraine, sekaligus mencadangkan krisis berlarutan sejak tiga tahun itu berakhir seawal minggu ini.
Menurut Leavitt, presiden dan pasukannya sangat fokus meneruskan rundingan dengan kedua-dua belah pihak dalam krisis ini bagi menamatkan konflik dan Trump amat yakin boleh menyelesaikannya minggu ini.
Kenyataan itu dibuat selepas Trump mendakwa Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy “tidak mempunyai sebarang kelebihan” dan perlu dikecualikan daripada rundingan damai akan datang dengan pemimpin antarabangsa.
Leavitt turut memaklumkan Penasihat Keselamatan Negara AS Matt Waltz akan bekerja sepanjang masa hujung minggu ini bagi memuktamadkan perjanjian, manakala Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent terlibat dalam perbincangan mengenai cadangan perjanjian dengan Ukraine untuk memanfaatkan sumber mineral mentah negara itu.
Ujarnya, situasi mineral kritikal adalah aspek penting bagi presiden yang akan membantu memulihkan dana pembayar cukai Negara Uncle Sam itu.
Selain itu, ia juga dilihat satu perkongsian ekonomi hebat antara Amerika Syarikat dan untuk rakyat Ukraine dalam usaha membina semula negara mereka berikutan konflik ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.