comscore
Tumpuan :
Dunia

Konflik Iran, Lubnan, Israel: Apa yang kita tahu setakat ini?

Foto: Reuters

Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: Konflik ketegangan Hezbollah di Lubnan terus memuncak apabila serangan udara oleh Rejim Zionis Israel terus membedil beberapa wilayah di negara itu.

Terbaharu, tindakan Iran negara sekutu Lubnan melancarkan lebih 200 peluru berpandu balistik ke Israel pada Selasa meningkatkan lagi ketegangan yang dikhuatiri boleh membawa kepada perang serantau yang lebih besar.

Ia ekoran tindakan rejim zionis itu melancarkan serangan udara yang besar di Lubnan sejak 23 September lalu mensasarkan stor simpanan senjata, depot dan tapak pelancaran peluru di negara berkenaan dipercayai milik Hezbollah.

Di Beirut, serangan udara rejim itu turut membunuh pimpinan kanan Hezbolleh, Hassan Nasrallah dan telah membangkitkan kemarahan kumpulan itu yang mahu menuntut bela atas kematian pemimpinnya.

Ini beberapa perkara yang anda perlu tahu perkembangan konflik ini dalam tempoh 24 jam lalu.

Iran lancar Fattah 1

Iran melancarkan hampir 200 peluru berpandu hipersonik Fattah 1 buat kali pertamanya ke atas Israel pada Selasa. Senjata itu didakwa mampu bergerak sehingga 15 kali ganda kelajuan bunyi dan mampu mensasarkan sistem pertahanan peluru berpandu.

Ia sebagai tindak balas terhadap serangan zionis terhadap sekutunya Hezbollah di Lubnan. Penggera amaran dibunyikan di seluruh negara haram itu, malah letupan boleh didengari dari Baitulmaqdis dan lembah Sungai Jordan.

 

Bagaimanapun sehingga kini tidak dapat dipastikan kerosakan yang berlaku serta kemalangan jiwa ekoran letupan peluru berpandu balistik Iran itu.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) umumkan, serangan itu mensasarkan pusat strategik yang diduduki pasukan tentera Rejim Zionis serta beberapa pangkalan tentera udar dan radar.

IRGC tegaskan kawasan sasaran itu dilindungi sistem pertahanan paling canggih dan berskala besar, malah 90 peratus daripada peluru berpandu Fattah 1 berjaya mengenai sasaran.

Amaran buat Israel

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan tindakan itu bagi mempertahankan kepentingan negara dan rakyatnya.

Beliau turut memberi amaran, pelancaran peluru berpandu itu hanya sebahagian daripada kuasa ketenteraan mereka.

“Tindakan ini adalah untuk membela kepentingan dan rakyat Iran. Untuk memberitahu (Perdana Menteri Israel) Netanyahu bahawa Iran tidak berperang, tetapi ia berdiri teguh menentang sebarang ancaman. Jangan terlibat dalam konflik dengan Iran,” jelasnya dalam hantaran di platfom X.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei juga menegaskan serangan terhadap negara haram itu akan menjadi lebih kuat dan menyakitkan.

“Dengan bantuan Tuhan, serangan daripada barisan kebangkitan akan menjadi lebih kuat dan lebih menyakitkan ke atas tubuh rejim Zionis yang uzur dan reput,” katanya dalam platfom X.

Reaksi Rejim Zionis dan sekutu

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyelar tindakan Iran itu dan berpendapat negara itu melakukan ‘kesilapan besar’ dan ‘akan membayar’ apa yang Iran lakukan.

Amerika Syarikat (AS) juga menyatakan tindakan Iran itu menyebabkan ‘peningkatan tekanan yang ketara’ dalam konflik yang berlaku di rantau Asia Barat itu.

Jelas Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, perbincangan teliti dengan Israel akan diketuai Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan mengenai tindak balas terhadap Iran.

PBB kecam serangan darat Israel

Dalam perkembangan berkaitan, Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bansga Bersatu (PBB) di Lubnan mengecam serangan darat yang dilancarkan Israel di selatan negara itu pada Selasa.

Tindakan menggerakan ribuan tentera berserta ratusan aset ketenteraan Israel itu melanggar kedaulatan dan integriti wilayah negara itu.

Pasukan pengaman UNIFIL bagaimanapun akan tetap berada di posisi mereka dan memantau situasi semasa.

Tentera Israel yang terlibat dalam serangan darat itu antaranya dari pasukan infantri dari Division 36, 188 Briged Berperisai dan 8 Briged Infantri.

Lebih 200,000 penduduk Lubnan hilang tempat tinggal

Lebih 200,000 penduduk di Lubnan hilang tempat tinggal, dimana lebih 100,000 daripada mereka melarikan diri ke Syria susulan serangan Israel di negara itu sejak 23 September lalu.

Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran, angka itu dijangka meningkat susulan serangan berterusan daripada rejim zionis.

Di Utara Israel, dikatakan lebih 60,000 orang hilang tempat tinggal. Agensi Pelarian PBB juga akan meningkatkan tindak balas kecemasan bagi membantu menyediakan bantuan kemanusiaan kepada seluruh rakyat Lubnan yang terjejas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini