ANKARA: Hubungan diplomatik di antara Turkiye dan Israel semakin retak apabila Presiden Recep Tayyip Erdogan menyalahkan sepenuhnya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atas segala konflik yang berlaku di Asia Barat.
Menurut Erdogan, tindakan rejim Zionis yang berterusan mengingkari desakan antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB dan mencabuli Konvensyen Vienna dengan menyerang kedutaan Iran di Damsyik, Syria adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Beliau juga turut menyalahkan Barat apabila pilih bulu dalam membuat pertimbangan berhubung ketegangan Iran-Israel.
Barat dilihat ghairah melontarkan kritikan terhadap Tehran berhubung serangan terbaharu yang dilancarkan namun hanya berdiam diri apabila Tel Aviv menyerang terlebih dahulu kedutaan Iran.
Erdogan turut memberi bayangan konflik serantau lebih buruk bakal terjadi sekiranya kekejaman terutamanya kes genosid di Gaza terus berlaku.
Sabtu lalu, Iran melancarkan ratusan dron dan peluru ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan di kedutaan Iran di Syria yang meragut tiga nyawa termasuk jeneral perang Tehran. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.