WASHINGTON: Komuniti luncur ais antarabangsa berkabung selepas nahas pesawat di Washington meragut nyawa dua bekas juara dunia serta beberapa jurulatih dan peluncur muda berbakat dari Amerika Syarikat (AS). Pesawat American Eagle Flight 5342 dari Wichita, Kansas, bertembung dengan helikopter Tentera Darat AS sebelum terhempas ke Sungai Potomac semalam.
Antara mangsa yang terkorban ialah bekas juara dunia beregu, Evgenia Shishkova dan Vadim Naumov, selain 14 peluncur muda yang pulang dari kem pembangunan kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif The Skating Club of Boston, Doug Zeghibe, mengesahkan enam ahli kelabnya berada dalam pesawat malang itu, termasuk Shishkova dan Naumov.
Pada masa sama, peluncur terkenal era 90-an, Nancy Kerrigan meluahkan kesedihan mendalam atas kehilangan rakan-rakan seperjuangannya, manakala juara dunia semasa, Ilia Malinin, turut menyatakan rasa dukacita.
“Saya hancur hati dengan kehilangan rakan peluncur dalam tragedi ini,” ujar Malinin.
Menurut Zeghibe, kem pembangunan kebangsaan itu menghimpunkan bintang muda dengan potensi besar untuk menjadi juara masa depan.
“Tragedi ini memberi impak besar kepada sukan ini,” katanya.
Antara yang terkorban ialah peluncur muda berbakat, Jinna Han, 13, dan Spencer Lane, 16, bersama ibu mereka. Kerrigan menyifatkan kedua-duanya sebagai atlet yang sangat berdedikasi dan kehilangan mereka amat dirasai.
Tragedi itu mengingatkan kembali insiden pada Februari 1961, apabila seluruh pasukan luncur ais AS yang dalam perjalanan ke kejohanan dunia di Prague terkorban dalam nahas udara di Brussels.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.