LONDON: Sebuah komet yang kali terakhir kelihatan dari Bumi ketika Neanderthal (manusia purba) masih hidup mungkin boleh dilihat dengan mata kasar hujung minggu ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik saintis.
Komet A3 (Tsuchinshan-ATLAS) telah digelar sebagai “komet abad ini” kerana betapa terang dan jelas ia mungkin kelihatan, menurut Royal Astronomical Society (RAS).
Ahli astronomi berkata komet itu kali terakhir kelihatan dari Bumi kira-kira 80,000 tahun yang lalu dan hanya ditemui pada Januari 2023.
Menurut persatuan itu, peminat astronomi di hemisfera selatan sudah pun melihat Komet A3, tetapi kini ia juga boleh dilihat di hemisfera utara.
Antara 12 hingga 30 Oktober, orang ramai mungkin dapat melihat komet itu menggunakan teropong atau pun dengan mata kasar.
Dalam video di laman sesawang persatuan itu, Timbalan Pengarah Dr Robert Massey berkata mengambil gambar komet itu mungkin boleh dilakukan, terutamanya jika menggunakan kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR).
Menurut RAS, komet itu berasal dari Awan Oort yang mengelilingi sistem suria dan mengandungi berbilion objek termasuk komet. -BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.