Tumpuan :
Dunia

Komander HTS dilantik Menteri Pertahanan Syria

Ketua Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan pemimpin de facto Syria, Ahmed al-Sharaa, yang juga dikenali sebagai Abu Mohammed al-Golani, mempengerusikan mesyuarat pembentukan kerajaan baharu Syria di damsyik. – FOTO: Reuters

DAMSYIK: Pemerintah baharu Syria melantik Murhaf Abu Qasra, seorang tokoh utama dalam pemberontakan yang menjatuhkan Bashar al-Assad, sebagai Menteri Pertahanan dalam kerajaan sementara.

Menurut sumber rasmi, Murhaf yang turut dikenali dengan nama perang Abu Hassan 600, adalah seorang tokoh kanan kumpulan Islam Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang mengetuai kempen menggulingkan Bashar bulan ini.

Katanya, beliau sudah memimpin banyak operasi ketenteraan semasa revolusi Syria.

Sementara itu, menurut agensi berita rasmi SANA, pemimpin de facto Syria, Ahmed al-Sharaa, membincangkan bentuk institusi ketenteraan dalam Syria baharu dalam satu pertemuan dengan kumpulan bersenjata, semalam.

Berdasarkan foto yang diterbitkan oleh SANA, Murhaf dilihat duduk di sebelah Ahmed, yang juga dikenali dengan nama perang, Abu Mohammed al-Golani.

Perdana Menteri interim, Mohammed al-Bashir, berkata minggu ini bahawa Kementerian Pertahanan akan disusun semula dengan menggabungkan bekas kumpulan pemberontak dan pegawai yang berpaling tadah daripada tentera Bashar.

Mohammed, yang pernah memimpin pentadbiran berkaitan HTS di wilayah barat laut Idlib, menyatakan bahawa beliau akan mengetuai kerajaan peralihan selama tiga bulan.

Terdahulu pada Sabtu, SANA melaporkan, Komando Umum pemerintah baharu melantik, Asaad Hassan al-Shibani sebagai Menteri Luar.

Sumber dalam pentadbiran baharu itu memaklumkan, langkah terbabit adalah sebagai tindak balas kepada aspirasi rakyat Syria untuk mewujudkan hubungan antarabangsa yang membawa keamanan dan kestabilan.

Menurut Komando Umum, Asaad Hassan, seorang graduan Universiti Damsyik berusia 37 tahun, sebelum ini mengetuai jabatan politik pentadbiran pemberontak di Idlib. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini