SEOUL: Jurgen Klinsmann yang memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan membawa Jerman ke separuh akhir sebagai jurulatih, sah dilantik sebagai ketua jurulatih Korea Selatan dengan kontrak sehingga 2026.
Pengendali berusia 58 tahun itu akan tiba di Seoul, minggu depan dan bakal mengendalikan aksi persahabatan berdepan Colombia pada 24 Mac, kata Persatuan Bolasepak Korea (KFA), hari ini.
Bekas jurulatih Jerman, Bayern Munich dan Amerika Syarikat (AS) itu menggantikan Paulo Bento yang membawa Korea Selatan ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar sebelum tewas 4-1 di tangan Brazil.
“Saya gembira dan berbangga dilantik sebagai ketua jurulatih Korea Selatan,” kata Klinsmann.
“Saya sedar bahawa bola sepak Korea Selatan sentiasa meningkat dan menghasilkan keputusan yang baik selama ini.”
Dia turut menambah bahawa dia ‘berbangga apabila mengikut jejak langkah’ beberapa jurulatih Korea Selatan sebelum ini seperti Guus Hiddink dan Bento.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang terbaik di Piala Asia dan Piala Dunia 2026,” katanya. – BERITA HARIAN