comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] “Kita akan tunjukkan pada dunia Israel adalah penjenayah perang” – Erdogan

 

ISTANBUL: Turkiye mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Israel sebenarnya adalah negara penjenayah perang, tegas Presidennya, Recep Tayyip Erdogan.

Erdogan juga turut mengkritik sikap hipokrit kuasa Barat yang memberikan sokongan kepada Israel selain media mereka yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan ke atas Gaza.

Presiden Turkiye itu berkata demikian ketika berucap di hadapan ratusan ribu rakyat Turkiye yang berhimpun dalam solidariti “Great Palestine Rally’ di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika berucap hadapan ratusan ribu rakyat Turkiye yang berhimpun dalam solidariti “Great Palestine Rally’ di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul. – Foto: Reuters

Erdogan menegaskan, sikap pilih kasih itu dilakukan Barat kerana rasa bersalah mereka terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap kaum Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.

“Turkiye tidak mempunyai masalah untuk menyatakan pendirian mengenai apa yang berlaku di Gaza kerana kita tidak terhutang budi kepada Israel.

“Ini berbeza dengan kuasa Barat yang sentiasa terhutang budi dengan negara Zionis itu kerana kekejaman yang pernah mereka lakukan dulu,” katanya.

Ketika pembunuhan beramai-ramai sedang dilakukan tentera zionis di Gaza, Erdogan mempersoalkan berapa ramai lagi nyawa kanak-kanak, wanita dan warga emas yang perlu dikorbankan sebelum gencatan senjata dapat dilakukan.

“Ketika Turkiye sedang dalam persiapan menyambut ulang tahun penubuhan Republik Turkiye yang ke-100 hari ini (Ahad), kita tetap berduka cita dengan apa yang dialami rakyat di Gaza,” katanya.

Perhimpunan mega di Istanbul itu menyaksikan solidariti rakyat Turkiye dari pelbagai latar belakang termasuk selebriti Yusof Islam.

Sehingga kini sekurang kurangnya 7,326 rakyat Palestin dibunuh tentera Zionis di mana 70 peratus daripadanya merupakan wanita dan kanak kanak. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini