Tumpuan :
Dunia

Kit ujian kendiri HIV tersedia di farmasi Singapura menjelang Januari 2025

Foto hiasan

SINGAPURA: Kit ujian kendiri Human Immunodeficiency Virus (HIV) akan dijual di farmasi terpilih di Singapura menjelang akhir Januari 2025, sebagai sebahagian daripada usaha negara itu untuk menggalakkan ujian berkala.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), kit itu melibatkan pengumpulan spesimen oral secara kendiri menggunakan ‘swab’, juga akan tersedia di Action for AIDS (AfA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdedikasi untuk memerangi jangkitan HIV dan AIDS di negara itu.

“Ujian kendiri HIV dijalankan secara perintis di Klinik Kawalan Jangkitan Kelamin (DSC) dan AfA sejak Ogos 2022 untuk melengkapkan kaedah ujian sedia ada.

“Perintis ini membuktikan penerimaan, keselamatan dan keberkesanan penggunaan ujian kendiri HIV, serta menggalakkan individu yang tidak pernah menjalani ujian HIV sebelum ini untuk mencubanya,” kata MOH dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun, MOH menegaskan bahawa keputusan daripada satu ujian diagnostik pantas seperti kit ujian kendiri HIV tidak mencukupi untuk mendiagnosis jangkitan HIV.

MOH turut menyatakan bahawa sebahagian besar kes HIV yang baru dikesan di Singapura didiagnosis pada peringkat lewat, dengan 52 peratus kes pada 2023, 51 peratus pada 2022, dan 62 peratus pada 2021 dikesan dalam peringkat jangkitan lewat.

Selain itu, jumlah kes yang dikesan melalui ujian HIV yang dilakukan atas inisiatif sendiri kekal rendah, iaitu 15 peratus pada 2023, 17 peratus pada 2022, dan 16 peratus pada 2021.

MOH dan Lembaga Promosi Kesihatan menyarankan setiap individu dewasa menjalani ujian HIV sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup, tanpa mengira faktor risiko. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini