Tumpuan :
Dunia

Ketua WHO seru gencatan senjata susulan serangan Israel ke atas hospital di Gaza

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. – Foto fail Reuters

ISTANBUL: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan kebimbangan pada Isnin berhubung serangan Israel ke atas hospital di Gaza, menyeru gencatan senjata segera untuk melindungi orang awam dan petugas kesihatan, lapor Agensi Berita Anadolu.

“Sungguh mengerikan bahawa hospital di Gaza terus diserang.”

“Kehidupan bergantung kepada gencatan senjata segera dan tanpa syarat. Sudah tiba masanya untuk menghentikan tembakan dan mengembalikan keamanan!” katanya di platform X.

Seruan itu dibuat selepas misi yang diketuai WHO baru-baru ini ke Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, apabila tingkat ketiga dilaporkan terkena serangan selepas pasukan itu beredar, mencederakan enam pesakit kanak-kanak — seorang kritikal.

Serangan berlanjutan ketika kakitangan WHO menyampaikan bekalan penting termasuk bekalan perubatan, 150 unit darah dan 20,000 liter bahan api, kata Tedros.

Walaupun berdepan risiko, pasukan itu turut membantu memindahkan 25 pesakit dan 37 pengiring ke Hospital Al-Shifa, katanya.

Selain itu, WHO berjaya sampai ke Hospital Al-Awda di utara Gaza, dan mereka dapat memindahkan lima pesakit tetapi dihalang daripada menyampaikan bekalan.

Tedros mengecam kekurangan perlindungan terhadap petugas kesihatan di tengah-tengah pengeboman Israel yang berterusan, yang turut menghalang akses kemanusiaan.- BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini